Friday, February 5, 2010

Maahad Muhammadi (L) - mengimbau kenangan

Baru-baru ni sambil melayari laman web, ana terjumpa pula laman web sekolah menengah (A) Maahad Muhammadi (L) Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan. Meneliti blog tersebut, terkenang semula kisah-kisah lama di sekolah tersebut. Apatah lagi kami batch 1984-1985 adalah kalangan pelajar pertama yang menuntut ilmu di tapak baru sekolah tersebut di Pengkalan Chepa waktu itu. Tahniah kepada unit ICT sekolah Menengah Maahad Muhammadi kerana dapat menyediakan laman web yang penuh informasi. Sekalung tahniah juga kepada guru-guru dan ustaz termasuk pelajar-pelajar yang bertungkus lumus menyediakan weblog yang kemas dan penuh maklumat tersebut. Bagi rakan-rakan yang ingin mendapat maklumat lanjut bolehlah layari : http://smuamml.kelantan.edu.my/home.html
sekolah Men (A) maahad Muhammadi (L). Pandangan depan 
dari Jalan Pengkalan Chepa (Tanjung Mas)
 
Lobi tempat cikgu Disiplin (Cikgu Ayub) mengurung pelajar
dengan tali rafia kerana pakai seluar ketat dan kasut belang

Kantin tempat judin dan jaiz menabal.....

sedikit info pasal sekolah ni...
Maahad Muhammadi Lelaki (MML) ialah sebuah sekolah menengah agama arab terkemuka di Kelantan yang terletak di jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Ia merupakan sebahagian daripada Maahad Muhammadi. Sekolah ini kini berada di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang berpusat di Nilam Puri. Sekolah ini menjalankan pendidikan multisistem atau lebih senang dikenali dengan istilah serampang dua mata dan mempunyai misi penting dalam menghasilkan intelektual berilmu agama di samping ilmu akademik yang membolehkan para pelajar berjaya di dunia dan akhirat. Maahad Muhammadi Lelaki ditubuhkan sejak permulaan Maahad Muhammadi lagi pada 1 April 1937 hari Khamis bersamaan 20 Muharram 1356 H.

Falsafah MML

Maahad Muhammadi Lelaki merupakan sebuah sekolah agama (arab) Kerajaan Negeri Kelantan yang terbesar. Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi terhadap pencapaian dan kualiti pelajar dalam menyediakan pelapis kepimpinan negara hari ini. Berbagai usaha telah dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti Maahad Muhammadi Lelaki, antaranya menjadikan Maahad Muhammadi Lelaki sebagai sebuah sekolah An-Namuzaji. Berdasarkan pencapaian dan kebolehan pelajar-pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum, memang wajar Maahad Muhammadi Lelaki diletakkan sebagai sekolah An-Namuzaji. Oleh itu, bagi meralisasikan harapan ini kerjasama dari semua pihak adalah perlu termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan pihak kerajaan sendiri harus memberikan perhatian dan sokongan yang padu kepada Maahad Muhammadi Lelaki.

Visi MML

Merealisasikan Falsafah & Matlamat Pendidikan YIK.

Misi MML

Maahad Muhammadi Lelaki beriltizam untuk menjadi sebuah model institusi ilmu (mithali) terulung yang membangunkan sektor pendidikan sepadu dan menawarkannya untuk menggerak seluruh potensi pelajarnya bagi melahirkan generasi rabbani melalui program pendidikan terancang berteraskan Islam dan tradisi ilmunya.
Dipetik dari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Maahad_Muhammadi_Lelaki

Terpegun dengan keindahan lanskap dan laman rumah di Netherland

Thursday, February 4, 2010

Peristiwa penting dalam bulan Safar untuk renungan

Artikel ini adalah kutipan yang dipetik dari internet, dikumpul dan disatukan. Kebetulannya pagi tadi ada tazkirah pagi Jumaat, saya yang kebetulan telah membaca artikel ini, mengambil kesempatan mengulasnya kepada pegawai-pegawai dan kakitangan bagi tujuan perkongsian ilmu pada paagi jumaat tadi. Terima kasih kepada Dr Engku Zaki kerana artikelnya yang saya petik dari blog beliau dan sebahagian lagi dari artikel-artikel yang bertebaraan diinternet.  Semoga maklumat ringkas mengenai bulan safar ini boleh kita kongsi bersama. Insyaallah.
BULAN Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan  (balas dendam) ke atas musuh-musuh mereka. Atau dengan kata lainnya mereka keluar mengosongkan rumah mereka untuk pergi berperang. Mereka keluar berperang pada bulan Safaar kerana bulan ini adalah dibebaskan dari berperang. Sejarah Arab jahiliyyah, bulan-bulan tertentu selain safar adalah bulan yang diharamkan berperang. Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini.
>Dalam bahasa melayu, penggunaan safar lebih merujuk kepada penyakit atau bala atau perkara-perkara buruk.
Sebagaimana bulan-bulan lain dalam Islam, Bulan safar adalah bulan-bulan biasa yang tiada bezanya. Dari segi ibadat, amalan-amalan wajib tetap juga dilakukan, amalan-amalan sunat mendapat pahala yang sama sepertimana bulan-bulan atau hari yang lain.
Kita sering ditakut-takutkan oleh orang-orang tua, atau masyarakat sekeliling tentang keburukan dan kegerunan terhadap bulan safar. Tetapi sebagai seorang Islam, kita perlu berpegang bahawa setiap hari dan bulan serta tahun adalah sama kecuali atas kehendak Allah swt.  Sebagai salah satu dari bulan Islam yang mesti kita ketahui, dalam bulan ini terdapat banyak peristiwa-peristiwa penting. Antaranya ialah:
1.  Persidangan Darul-Nadwah

adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah diMekah.Ia dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan  melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw.Ia diketuai oleh Abu Jahal  dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari perkampungan Najad. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk membunuh Nabi SAW. Ekoran dari persidangan Darul Nadwah ini, Nabi SAW telah diperintahkan oleh Allah swt supaya berhijrah ke Madinah yang menjadi satu fenomena baru dalam sejarah umat Islam.   

2.    Perkahwinan Nabi dengan Khadijah
Pada bulan inilah juga diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah berkahwin dengan  Khadijah binti Khuwailid, iaitu isteri baginda yang pertama.
                      .
3. Rasullullah saw Mula Sakit –
Pada bulan Safar inilah juga yang berlaku  pada akhir bulan setelah kembalinya Rasulullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit. Beliau wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a.Beliau telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a & beliau telah wafat dirumahnya.

4.Berlakunya Perang penting dalam Sejarah Islam

Antara peristiwa-peristiwa penting lain  yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah berlakunya banyak peperangan menentang kaum kufar. Banyaknya peperangan kerana bulan ini adalah bulan yang dibenarkan berperang. SAntaranya ialah  Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.  Berlakunya juga perang Khaibar, di mana 4ramai sahabat-sahabat Nabi telah gugur syahid.

Selepas zaman Rasulullah saw, juga terdapat banyak perang yang berlaku pada bulan safar, antaranya perang al Mazar yang telah berlaku pada bulan Safar tahun 12 Hijrah. Ia meletus akibat daripada peperangan Zat As-Salasil yang berlaku sebelum itu yang menyebabkan terbunuhnya panglima perang Parsi dianggap tidak memadai untuk mengecewakan maharaja Parsi, lalu peperangan Al-Mazar dicetuskan sebagai peperangan tambahan dalam melemahkan lagi kekuatan tentera Parsi. Sayyidina Khalid bin Al-Walid r.a telah telah diberi tanggungjawab yang besar iaitu memikul amanah sebagai panglima tentera Islam di mana tentera Islam di bawah pimpinannya ini telah bertempur dengan tentera Parsi yang mempunyai bilangan yang ramai dan dipimpin oleh seorang panglima yang bergelar Qorin. Di dalam peperangan Al-Mazar ini tentera Parsi berjaya dikalahkan oleh tentera Islam, malah Parsi terpaksa mengorbankan seramai 30,000 tentera. Belum lagi keletihan yang di alami oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid hilang di dalam peperangan Al-Mazar itu, mereka telah memasuki satu peperangan lain melawan tentera Parsi yang besar di akhir bulan Safar yang dikenali sebagai peperangan Alis. Di dalam peperangan Alis ini sekali lagi tentera Parsi terpaksa mengalami kerugian yang besar walaupun mereka membekalkan dengan kekuatan ketenteraan yang begitu ramai, di mana Parsi terpaksa mengorbankan sejumlah 70,000 tenteranya.

6. Tragedi al-Rajiah

Selain itu, pada bulan ini juga mencatatkan beberapa kejadian malang atau tragedi terhadap orang-orang Islam di zaman Rasulullah saw. Antaranya ialah tragedi al-Raji, iaitu Peristiwa yang berlaku pada tahun ketiga atau keempat hijrah yang membabitkan tujuh sahabat Baginda yang diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ˜Udal dan al-Qarah.. Bagaimanapun, mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Rajiah, iaitu  di daerah ˜Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah). Antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudian menjadi ikutan sunnah.

7. Kematian Salahuddin al Ayyubi
Selain itu,    Bulan Sofar turut memahat peristiwa tentang kematian panglima Islam Solehudin al-Ayyubi yang terkenal dengan jasanya yang begitu besar dalam membebaskan masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis daripada cengkaman Empayar Rom. Keimanan yang tinggi kepada Allah dan rasulNya serta keyakinan dengan janji Allah bahawa Masjid al-Aqsa bakal dibebaskan daripada cengkaman kesesatan dan kezaliman telah menyemarakkan lagi semangat Solahuddin al-Ayyubi bersama tentera Islam untuk terus berjuang dalam membebaskan Baitul Maqdis. Solahuddin al-Ayyubi yang berbangsa Kurdi dan anak kelahiran Tikrik, Iraq yang juga tempat lahir Saddam Husein telah melakukan pelbagai perancangan dalam menawan semula Baitul Maqdis milik umat Islam. Kekalahan pemimpin dan tentera Islam sebelum ini tidak pernah melunturkan semangat jihad beliau dalam memperjuangkan Islam dan membebaskan Baitul Maqdis. Selain membina kubu hampir di kesemua negara keliling Baitul Maqdis, beliau turut menggulingkan raja-raja yang lebih mementingkan kepentingan diri daripada memperjuangkan Islam. Ketika hampir berjaya menawan Baitul Maqdis setelah banyak kali dipatahkan oleh tentera Rom maka Solahuddin al-Ayyubi  telah memeriksa setiap khemah tenteranya dan didapati ramai dikalangan tenteranya sedang solat tahajjud dan membaca al-Quran serta sedikit daripada mereka yang tidur. Lalu keesokan harinya beliau telah mengarahkan agar tenteranya yang tidur supaya tidak turut serta dalam serangan kerana hanya tentera yang sentiasa dekat dengan Allah sahaja yang diperlukan dalam mengalahkan musuh. Akhirnya Allah mendatangkan kemenangan yang gemilang yang terus dikenang sehingga hari ini setelah segala syarat kemenangan telah dipenuhi dengan penuh keikhlasan kepada Allah.

8.         Kejatuhan Bani Abbasiah di Baghdad

Antara peristiwa yang juga boleh dikatakan malang dalam sejarah Islam ialah jatuhnya kota Baghdad di bawah pimpinan kerajaan abbasiah sewaktu pemerintahan Khalifah Mu’tasim Billah. Bagionda dan seluruh keluarganya serta ratusan ribu orang Islam telah dibunuh oleh orang Tartar yang menyeraang kota Baghdad

Itu adalah sebahagian daripada peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan Safar. Hari ini sejarah bulan Safar ini diperbesar-besarkan lagi dengan dakwaan sesetengah masyarakat kita bahawa bulan ini adalah bulan yang penuh dengan kecelakaan, kebinasaan dan wabak penyakit.

Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.
Antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.
Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.
Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu ada umat Islam yang menulis ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi manda dengan airnya konon untuk mendapat perlindungan daripada bala buruk pada hari berkenaan.
Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya:

51. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa Yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung Yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman bertawakal".
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.
Adapun ada hadis-hadis yang mengatakan tentang perkara-perkara tersebut adalah ditolak kerana ia adalah hadis palsu yang sengaja direka-reka dan sudah dinafikan oleh satu hadis shahih yang diriwayatkan oleh imam Bukhari;


Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis. (Hadis riwayat Bukhari)
Hadis Rasulullah SAW jelas menegaskan bahawa jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit yang berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial atau nahas Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia. Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit kesemuanya adalah kekuasaan dan kehendak Allah belaka.
Pada masa sama, Rasulullah SAW berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan dengan sesuatu musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan janganlah menghampiri mereka.
Ini bukan bererti penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan itu menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga serta berusaha untuk memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.

Maka hukum berpegang dengan kepercayaan karut adalah ditolak. Jika ia berkaitan atau menyalahi akidah maka ia boleh membawa kepada syirik dan merosakkan iman. Apabila iman sudah rosak, maka ia akan mempengaruhi amalan maka amalan juga tidak akan diterima oleh Allah subhanahu wa ta'ala.

Beramal dengan perkara-perkara tersebut juga adalah ditolak kerana ia adalah bid'ah dhalalah. Maka beramal dengan perkara-perkara bid'ah dhalalah adalah haram hukumnya. Dan ada banyak lagi kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan dan kaum-kaum tertentu.

Wednesday, February 3, 2010

Tahniah YAA Datuk Muhammad bin Abdullah, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Sekalung tahniah kepada YAA Tuan Muhammad bin Abdullah, ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan kerana telah menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah persekutuan di Istana Negara pada 1hb Februari lalu. semoga dengan pengaanugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' tersebut akan meningkatkan lagi kewibawaan Mahkamah Syariah dan menaikkan imej jabataan di mata masyarakat. Sekali lagi tahniah kepada YAA Datuk Muhammad bin Abdullah.

YAA Datuk Muhammad bin Abdullah. 
Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan


Utusan Malaysia 1 Februari 2010
Abdullah ketuai penerima pingat WP
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendahului senarai 240 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2010 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara di sini, hari ini.


Abdullah dianugerah darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama daripada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut dianugerahi SUMW.Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail pula antara tujuh penerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.
Turut menerima SMW ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk James Foong Cheng Yuen, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Ismail Yusof, Penasihat Media kepada Perdana Menteri Datuk Jalaludin Bahaudin dan pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra, Datuk Alies Anor Abdul yang juga bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Tiga pemimpin media iaitu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarang Malay Mail, Ahirudin Attan yang lebih dikenali sebagai blogger Rocky Bru dan merupakan presiden penaja Alliance of Bloggers (All-Blogs) serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Mustapa Omar merupakan antara 27 penerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Turut dianugerah PMW ialah Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Tinggi Lim Yee Lan, Dr. Sharuddin Md. Salleh yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Omar Abd. Rahman.
Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr. John Antony Xavier, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Polis Diraja Malaysia, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin, Timbalan Ketua Setiausaha I, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Aziyah Mohamed, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am Jabatan Kerja Raya, Datuk Dr. Amer Hamzah Mohd. Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran, Dr. Haili Dolhan dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohamad Abdullah.
Penerima lain PMW ialah Panglima Markas 4 Divisyen Kem Wardieburn Angkatan Tentera Malaysia, Mej. Jen. Datuk Zulkiple Kassim, Pengarah Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya Muhamad Haitamin Ishak, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, SAC II (B) Leong Chee Woh, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan Mohd. Idris Mohd. Isa.
Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya Bangsar, Tunku Zahiah Tunku Sulong, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Labuan, Yussof Mohammad, Anggota Lembaga Penasihat DBKL dan Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mustapa Kamal Mohd. Yussof, Anggota Lembaga Penasihat DBKL dan Ketua Umno Bahagian Batu, Yahaya Mat Ghani, Setiausaha Badan Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Lai Kong Fah, Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, KP Peru Karupan, Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP), A. Chandrakumanan yang juga pengerusi PPP Wilayah Persekutuan.
Chef profesional negara, Redzuawan Ismail atau Chef Wan, perunding dan bekas pelumba basikal kebangsaan, Ng Joo Ngan serta Pengerusi Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr. Ismail, Hassanuddin Ali juga turut menerima PMW.
Seramai 32 orang pula dianugerah Johan Mahkota Wilayah (JMW) termasuk Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Zulkefli Salleh dan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Shaharudin Abd. Latif.Seramai 30 orang menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) termasuk Pengarang Kumpulan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Mohd. Ashraf Abdullah manakala seramai 43 menerima Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 90 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). - BERNAMA

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...