Friday, March 19, 2010

kembara di Bumi Anbiya': mengenali Jordan; Bumi Nabi-Nabi


 Jordan: bersempadankan Israil di Timur, Mesir, Iraq, Syiria dan Arab Saudi.
Sebaik tiba di lapangan terbang Queen Alia, Amman Jordan,  Kami dibawa ke Hotel Alia di pinggir bandaraya Amman untuk berehat. Selepas bangun dari tidur, sepertimana biasa aku  membuat sedikit catatan di mana saja tempat yang dilawati. Menziarahi bumi anbiya’ seperti Jordan adalah tidak sah tanpa mengenali Negara tersebut lebih dekat. Jordan di dalam Bahasa Arab disebut al-Urdun yang bermaksud kekuatan dan kejayaan . Dikatakan juga bahawa Urdun merupakan nama salah seorang dari keturunan Nabi Nuh as . Negara ini menyambut kemerdekaan pada 25 Mei 1946. Kedudukan  Geografinya di Barat Daya Asia 290 11’ - 330 22’ Utara dan 340 59’ – 390 18’ Timur dengan Kawasan diliputi keluasan 89 , 342 km persegi. Sebahagian besarnya adalah padang pasir yang dimajukan.

Kawasan Ghawr Jordan terletak di sepanjang Sungai Jordan . Laut Mati dan Wadi Araba . Laut Mati merupakan tempat terendah di dunia menjangkau 400 meter bersamaan 1300 kaki di bawah paras laut . Menuju ke Timur , ketinggiannya semakin bertambah dari utara ke selatan dengan direntasi aliran sungai dan lembah. Puncak tertinggi di Jordan adalah gunung Umm ad Dami setinggi 1854 meter dengan diikuti gunung Ram setinggi 1754 meter . Lebar maksimum tanah tinggi ini adalah 50 km . Kawasan timur Jordan yang gersang adalah sebahagian dari pedalaman Syam.

Iklim padang pasir di Jordan adalah panas kering sewaktu musim panas dan sejuk di musim dingin . Iklim Mediterranean ketara di kawasan berbukit dengan musim panas yang sederhana dan musim dingin yang sejuk . Manakala kawasan Ghawr adalah terlalu panas semasa musim panas dan agak hangat sewaktu musim sejuk . Purata suhu dalam bulan Januari di Amman , Irbid dan Aqabah adalah 7.3 , 8.5 dan 16.10C secara umumnya dan angka ini akan meningkat sehingga 24.7 , 24.7 dan 31.20C pada bulan Julai . Hujan tahunan mencecah sehingga ke 400 mm di Amman dan Irbid dan sekitar 37 mm di Aqabah.

Tumbuhan padang pasir tumbuh dengan banyaknya di kawasan Timur Jordan manakala hutan , pokok oak dan pine tumbuh di kawasan berbukit terutamanya di Utara Jordan. Jordan mempunyai
Populasi 4 , 139 ,000 pada 1994 dengan Kepadatan Penduduk 46 per segi Km. Rakyatnya menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing utama  dengan sebahagian besarnya adalah beragama islam iaitu sebanyak 95 %, manakala 5 % lagi adalah beragama Kristian.

Amman adalah ibu negara Jordan dengan penduduk seramai 964,000 orang. Irbid seramai 208,000 penduduk dan az-Zarqa’ seramai 344,000 penduduk (Bancian 1994). Negara ini menggunakan matawang Dinar iaitu 1 Dinar = 1000 Fils = 100 Qirsh ( Piasters ) , 100 Dolar = 70.8 JD. Waktu itu 1 Dinar Jordan adalah lebih kurang RM7. Sempat juga aku minum the panas dengan harga RM21 (3D) di di lobi Hotel Alia, Amman.
Dari segi Sejarah, Negara Jordan bermula dengan kewujudan beberapa kota bertembok yang muncul di Jordan sekitar 3200 SM. Ketika itu menyaksikan di Baratnya wujud peradaban Mesir dan tamadun Mesopotamia di bahagian Timurnya menjadikan Jordan sebagai laluan perdagangan yang sibuk. Zaman Besi menjelangnya kurun pertama SM menyerlahkan kewujudan kerajaan–kerajaan kecil seperti Edomites yang mentadbir di Selatan Jordan, Moabites bertapak di tengah Jordan, Amorites pula memiliki ibu kota mereka di Hisban di Selatan Amman, Ammonites menguasai sekeliling Amman manakala kerajaan Gilead menguasai kawasan Utara Sungai az-Zarqa’. Selanjutnya Arab Nabatean mengasaskan kerajaan mereka di Selatan Jordan pada penghujung kurun pertama SM dengan ibu pemerintahan mereka yang kebal di Petra namun akhirnya kecundang kepada kerajaan Roman pada awal kurun ke-2 M . Roman telah mentadbir Jordan selama beratus-ratus tahun sehinggalah diambil alih oleh Empayar Byzantine yang berpusat di Konstantinopel dan bertanggungjawab menyebarkan Kristian di sini selama 400 tahun . Pada kurun ke-7 M , tentera Islam telah keluar dari tanah Arab dan menguasai Roman dan menjadikan Jordan sebagai tanah Islam sehinggalah sekarang . Pada 1916 , Raja Hussein telah melancarkan Pemberontakan Arab menentang kerajaan Othmaniyyah dan pada 1925 sebuah Emirate TransJordan telah diasaskan dengan Raja Abdullah ( datuk kepada Raja Hussein ) sebagai pemerintah. Jordan bebas sepenuhnya dari cengkaman Great Britain pada tahun 1946.

Negara ini juga terkenal dengan bumi anbiya’. Ramai nabi-nabi dilahirkan di Jordan dan sejarah nabi-nabi itu ada diceritakan di dalam al-Quran. Antaranya:
 Nabi Yusha’ bin Nun
Baginda merupakan pengikut Nabi Musa as dan pernah menjadi teman musafir Nabi Musa as sewaktu diperintahkan untuk berjumpa dengan Nabi Khidir as oleh Allah Ta’ala. Baginda telah dipertanggungjawabkan untuk memegang bekas ikan dan memberitahu Nabi Musa as sekiranya ikan tersebut hilang (Qisasul Anbiya’).
Nabi Syuaib
Nabi Syuaib as diutuskan Kaum Madyan ( Bandar Madyan berdekatan dengan Ma’an di sudut Syam dan berhampiran juga jika dari sudut Hijjaz dengan Laut Mati ). Baginda adalah Syuaib bin Yushkhor bin Lawi bin Ya’kub. Malah ada juga pendapat yang menunjukkan pertalian nasab baginda dengan Nabi Ibrahim. Dikatakan juga datuknya atau emaknya adalah anak kepada Nabi Luth. Malah ada juga pendapat yang menyatakan baginda beriman ketika hari Nabi Ibrahim as dibakar Namrud dan kemudian mengikut Nabi Ibrahim as berhijrah ke Damsyiq dan ada pendapat lain menyatakan mereka berhijrah ke Syam dan keduanya berkahwin dengan kedua anak perempuan Nabi Luth as. Nabi Syuaib as digelar sebagai Pemidato Para Nabi kerana kepetahan dan keindahan ibarat yang digunakan dalam berdakwah. Antara kemungkaran Kaum Madyan adalah mereka merompak , menghalang dan mengganggu di jalan serta menyembah pokok (yang besar dan merimbun) di samping menipu dalam sukatan dan timbangan. Mereka diazab Allah dengan kepanasan yang amat sangat dan Allah kekalkan angin panas itu selama 7 hari dan tidak ada guna walaupun mereka cuba menyejukkan diri dengan air atau berteduh Satu ketika mereka semua berteduh di bawah setompok awan maka Allah pun menurunkan kepada mereka azab kepanasan atau sebaliknya dan kemudian tanah yang mereka pijak bergegaran lalu kedengaran satu teriakan dari langit yang mencabut nyawa dari jasad mereka. Nabi Syuaib wafat di Makkah dan bersamanya ketika itu segolongan orang yang beriman dan kubur mereka terletak di Barat Makkah antara Darun Nadwah dan Dar Bani Sahm. (Qasasul Anbiya’). Bagaimanapun makam yang kami lawati di Madyan juga dikatakan sebagai makam Nabi Shuib, Waqllah a’alam.
 makam nabi Shuib di Madyan, Jordan
Nabi Ayub
Nabi Ayub as berasal daripada Rom. Baginda adalah Ayub bin Musho bin Zirakh bin al-I’s bin Ishaq bin Ibrahim as. Dikatakan isterinya bernama Liya binti Yaakub as . Nabi Ayub as mempunyai harta , binatang ternakan dan peliharaan serta hamba yang banyak di samping tanah yang luas. Anak dan ahli keluarganya juga ramai. Kemudian Allah mengujinya dengan penyakit yang teruk dan hanya hati dan lisannya sahaja yang tidak terjejas lantaran penyakit itu. Tetapi Nabi Ayub sentiasa sabar dan sentiasa berzikir kepada Allah. Apabila dia mengasingkan diri di kawasan terpencil maka isterinya turut menemaninya sehinggalah dia disembuhkan Allah. Apabila baginda wafat usianya ketika itu 93 tahun. (Qasasul Anbiya’).
Nabi Nuh
Nama baginda adalah Nuh b. Lamik b. Matusylakh b. Khonukh ( Nabi Idris ) b. Yarid b. Mahlayil b. Qinan b. Anush b. Syith b. Adam a.s. Jarak antara kelahiran baginda selepas kewafatan Nabi Adam as adalah selama 126 tahun dan ada juga yang menyatakan 146 tahun , 10 kurun lamanya antara waktu kelahiran Nabi Adam dan lahirnya Nabi Nuh. Baginda menjadi Rasul apabila berusia 480 tahun dan berdakwah selama 950 tahun dan baginda hidup selepas peristiwa banjir besar selama 350 tahun. Pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa kubur baginda terletak di Masjidil Haram. Tetapi ramai dari golongan yang terkemudian menyatakan kubur baginda berada di al-Baqa’ yang dikenali hari ini sebagai Karak Nuh dan masjid telah dibina disini dengan sebab kewujudan makam tersebut. (Qasasul Anbiya’)

Nabi Luth
Nabi Luth as hidup pada zaman Nabi Ibrahim as kerana dia juga merupakan anak saudara kepada Nabi Ibrahim as. Nama baginda adalah Luth b. Harun/Haran b. Tarikh (dikenali juga sebagai Aazar) . Nabi Luth as telah pergi ke Bandar Sadum dengan perintah Nabi Ibrahim as. Kaum Luth ketika itu melakukan kemaksiatan yang paling teruk dilakukan sejak zaman-zaman yang sebelumnya iaitu liwat atau homoseksual . Maka selepas dakwah yang dijalankan oleh Nabi Luth ditentang kaumnya maka mereka seluruhnya yang mungkar dibinasakan Allah Ta’ala. (Qasasul Anbiya’)

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...