Saturday, June 2, 2012

Deraman Yang penuh Drama

Ni namanya Deraman. dah besar dah. umurnya sekitar 1 tahun 3 bulan lebih kurang. Sejarahnya lebih kurang setahun yang lalu bila aku dapat call dari staff opis aku pada satu hari minggu kurang lebih bulan lima tahun lalu. (2011). masa tu arwah mak aku masih ada lagi.  Kata member aku kat ofis, dia minta aku ambil anak musang ada 2 ekor. Terperangkap kat ofis kena tinggal oleh ibu dia. aku pun pegi lah ambik dan belanya sampai hari ni. masa tu dia kecik lagi, ada sebesar cawan jah. sekarang ni dah besar dah, besar dari ibu kucing. Bekeng pulak tu. selama setahun lebih aku pera dia. dulu lepas, tapi dia tak nak pergi jauh, dok ralit bertenggek kat reban rumah jah. Nak biarkan takut pula dikekah makannya anak-anak ayam aku. Maka aku kurung dia dalam gok kecik. kesian jugak, tapi dia tak mahu keluar.
Yakk, banyok berak terr..

Nama dia Deraman ni pasal ada cerita. Dulu masa aku gi ambik dia, aku dengan abang aku Baruding. Aku ambik masuk dia dalam guni. punyo lah payah nak pege dia pasal masa tu dia tengoh liar lagi. Nyo kekah tangan aku dan panca kecing char-char...penuh drama. Maka aku boh nama dia Deraman pasal banyak drama masa aku nak ambik dia... Ada sekor lagi abang dia, tapi abang aku dah ambik dan katanya doh hilang nye ambik ddemo tak bagi kelik. kena curi lah tu bokali.

Masa dia umur 5-7 bulan dulu, deraman ni pernah aku lepah. masa tu aku nak balik cuti raya, mok aku ada lagi masa tu. Bimbe dan kesie dia tak dok ore nak jamu makan, aku lepas dia dalam hutan kat rumah. Bila aku balik cuti raya tu, burung merpati bulu lebat aku tadak sekor pun dalam gok. cek aku cek, rupanyanya 2-3 ekor nyo teguling. Lamo aku menengung dok mmikir bakpo burung ppati aku mapuh, pada hal aku tinggal makanan dan air banyak. Tengoh dok mmikir aku napok Deraman dok tenung aku celah atap. Yakk... rupanya menatang ni dah behe habih burung ppati aku. Sapa hari ni Burung ppati aku takut nak kelik kumah...pasal mu Deraman! beraso nak marah jugak ko Deraman, tapi pikir ko dia ni bukan jenis manusia, maka aku pun ambik dia...tak lari pulak. Ruponya dia balik semula ke rumah aku... Jadi aku ambil lah. Lepas tu aku kurung tak bagi dia makan kokser. Seminggu aku cuti raya, 4 ekor burung ppati bulu lebat, sekor candik dan sekor anak murai aku dia telan. Mujo anak ayam serama dia tak makan... Deraman sungguh!

Makanan dia mudah jah, aku bui makanan kucing, dulu dia tak berapa nak makan, tapi dah tak dok makanan lain dia gomo supo tulo yo. pete-pete aku ada bawa dia berjalan-jalan, tapi baso jenih binatang liar ni dia mudah penakut dan culah bila tengok ore, mulolah dia gelepar nak lari. Ada sekali tu aku berhajat nak hantar dia ke hutan nak bagi dia hidup seperti binatang lain, tapi dia tak nak keluar dan masih nak duduk rumah aku. kesian pulak aku. Jadi aku terus pera dia sampai hari ni.

Peliknya Deraman ning, dia tak makan dah anak-anak ayam dan burung aku, tapi nanak hari dia bawa balik ayam ore. Aku takut ore marah, aku kurung jah dia...

Deraman ni ok jugak dengan aku. tapi dengan ore lain acu hulur lah jari manis tu kalu nak tahu come ko dok ada 4 jari, bekeng telajok lah kalu dengan ore dia tak kenal.

So kkaro jah aku tak berapo suko denge Deraman ni, bau dia tak berapa  sedap. kalu dia berak gak, jebat bau penuh rumah. tapi tak tahu bakpo aku sangat saye ke dio. Mungkin aku ada sikit perasaan kebinatangan yang bercampur dengan kemanusiaan...

Naik beca, baca sejarah

Keliling bandar Melaka menaiki beca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan! itulah luahan suara anak-anak. Mereka melihat beca sebagai satu instrumen pelancongan. tanpa mereka sedari beca adalah salah satu kenderaan utama di bandar suatu ketika dulu.

Pengalaman menaiki beca di Melaka sebagai satu kenangan bagi anak-anak tanpa mereka sedari beca adalah sumber rezeki mereka.  Adalah sesuatu yang janggal apabila kita menyukai sesuatu tanpa mengetahui asal usulnya. sambil berseronol menaiki beca, sedikit info mengenainya yang mungkin boleh dikongsi bersama;
Beca dikatakan bermula dari kenderaan serupa yang pertama kali beroperasi di Jepun iaitu jinrikisha yang membawa maksud jin-manuasia, riki-daya atau tenaga dan sha-kenderaan pada sekitar tahun 1868 ketika era pemerintahan maharaja Meiji. Kata jinrikisha mula dimasujjan di dalam kamus oxfford sekitar tahun 1887.

Terdapat dua versi pendapat mengenai  orang pertama yang menggunakan beca.  Sumber pertama mengatakan Jinrikisha (atau rickshaw: China) ditemui oleh Albert Tolman, seorang tukang besi dari Amerika Syarikat tahun 1848 di Worcester, Massachussets, untuk kepentingan pekerjaannya sebagai mubaligh. manakala sumber kedua pula menyatakan Seorang mubaligh Amerika di Jepun, Jonathan Scobie membuat rickshaw sekitar tahun1869 sebagai alat pengangkutan bagi isterinya yang cacat. Suatu ketika dia berfikir bagaimana cara isterinya yang cacat kaki  boleh mengikut ia berjalan-jalan, bagi menyelesaikan masalah itu, ia memerlukan sebuah kenderaan yang tak perlu ditarik oleh  haiwan kerana hanya untuk satu penumpang sahaja. Kemudian ia mulai menggambarkan sebuah  kereta kecil tanpa bumbung di atas sehelai kertas. Orang-orang Jepun yang melihat kenderaan peribadi ditarik manusia itu menamakannya jinrikisha. Penarik  jinrikisha biasanya diberi upah setiap minggu. Lama-kelamaan, jinrikisha menarik perhatian masyarakat Jepun, khususnya para bangsawan .


Beca yang digunakan di Oldtown China satu ketika dulu

Versi lain pula menyebut bahawa orang-orang Jepun percaya jinrikisha dicipta oleh tiga orang iaitu Izumi Yosuke, Suzuki Tokujiro dan Takayama Kosuke pada tahun 1868. Mereka mendapat inspirasi dari penggunaan kereta kuda penarik yang popular ketika itu. Sejak yahun 1870, kerajaan Jepun telah memberi keizinan untuk mengeluar dan menjual jinrikisha kepada mereka. Sejak tahun 1872, sekitar 40,000 jinrikisha beroperasi di bandar Tokyo. (Powerhouse museum, 2005, The jinrikisha Story, 1996. Kredit ohduniaku http://ohduniaku.com

Berbalik pada beca di Melaka, beca merupakan kenderaan beroda tiga yang berasal dari lanca. Di Malaysia, terdapat dalam rekod bertulis ianya bermula di Singapura pada 1914 apabila 15 buah beca didaftar dan diperkenalkan sebagai basikal roda tiga di Taman Upton. beca ini mempunyai pengayuh di sebelah sisi penumpang. terdapat juga model beca dengan pengayuh di belakang atau di hadapan penumpang. Bumbung  juga dipasang bagi memberi teduhan kepada penumpang.




Di negeri lain, perkhidmatan penarik beca makin pupus berikutan kurangnya permintaan daripada pelancong tempatan atau asing. Di Melaka, harga beca mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah, bergantung kepada kelengkapan yang ada padanya seperti bateri, alat perhiasan seperti lampu dan set radio.
Bagaimanapun, di kebanyakan tempat seperti Kelantan dan Terengganu, harga beca sekitar RM800 hingga RM1,000 kerana hanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas. Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu. Di Melaka, bayaran kira-kira RM20 hingga RM30 dikenakan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki beca bagi pusingan tidak sampai satu kilometer manakala untuk bergambar saja sekitar RM20. Bayaran itu jauh berbeza berbanding diterima penarik beca bagi mengangkut barang serta penumpang di Kelantan dan Terengganu, iaitu hanya RM2 bagi jarak kurang dua kilometer dan RM5 hingga RM10 bagi jarak lapan hingga 10 kilometer. 
Bagaimanapun, di kebanyakan tempat seperti Kelantan dan Terengganu, harga beca sekitar RM800 hingga RM1,000 kerana hanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas. Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu. Di Melaka, bayaran kira-kira RM20 hingga RM30 dikenakan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki beca bagi pusingan tidak sampai satu kilometer manakala untuk bergambar saja sekitar RM20. Bayaran itu jauh berbeza berbanding diterima penarik beca bagi mengangkut barang serta penumpang di Kelantan dan Terengganu, iaitu hanya RM2 bagi jarak kurang dua kilometer dan RM5 hingga RM10 bagi jarak lapan hingga 10 kilometer. 








Rekod beca terawal adalah digunakan di Singapura pada 1914 apabila diperkenalkan di Taman Upton. Bagaimanapun ianya sukar dikendalikan melalui jalan yang sempit dan berliku waktu itu berbanding lanca yang lebih senang digunakan. Oleh itu generasi beca pertama itu kemudiannya dijual dan dibawa ke Jawa. Hanya pada akhir 1920an beca kembali diperkenalkan di Singapura dan kegunaanya meningkat dengan kedatangan migran China yang mendapati membawa beca memberikan pendapatan yang baik. beca kemudiannya menjadi semakin popular di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan seluruh Asia.




 Nuha di hadapan beca yang dihias berwarna warni
BECA adalah kenderaan beroda tiga yang asalnya diubahsuai daripada lanca, iaitu kenderaan beroda dua yang ditarik menggunakan kudrat manusia. Di Malaysia, sejarah bermula pada 1914 apabila 15 beca didaftar di Singapura sebelum diperkenalkan di negeri-negeri Tanah Melayu. Walaupun pada awalnya ia hanya mengangkut penumpang, kini ia turut digunakan bagi mengangkut barang. Boleh dikatakan hampir kebanyakan negeri di Malaysia mempunyai perkhidmatan beca, namun ia paling popular di Melaka dan Pulau Pinang kerana diiktiraf sebagai aset tarikan pelancongan.
Di Indonesia, banyak beca telah dirampas dan dilupuskan sebagai tukun, sebagai langkah kerajaan menghapuskan perkhidmatan beca tanpa lesen. 


Beca atau teksi di kelantan dan terengganu (ihsan hmetro.com)

Di kelantan pula, beca dikenali sebagai teksi. pengayuh beca dipanggil penggatih teksi. Tidak banyak lagi teksi seperti itu di Kelantan kecuali untuk kegunaan mengangkut barangan ke pasar. Kenderaan seperti ini sudah mulai luput dan tidak lagi popular walaupun satu ketika dulu, inilah kenderaanku ke sekolah. Peluh dan hangit bau badan  Pak Kob penggatih teksi itu masih terasa hingga kini. Budinya tetap ku ingat sampai mati. Kerana tenaganya menggatih teksi tersebutlah membawa aku sampai ke sini hari ini, memandu BMW 3 series dalam sejuk hawa dingin. al fatihah untuk Pak Kob dan generasinya..
(http://www.hmetro.com.my/articles/Atukbecaterusterpinggir/Article/artikelMA)

MEK! ORE MASUK TV

Banner yang menarik perhatian...penuh makna dan tersirat...oghe lain tak buat supo demo pasal demo yang paling brilliant! kalu ambo ada kompeni besar ambo ambik demo jadi pegawai promosi...terima kasih pada yang upload gambar ni...ambo tak tahu mana ambo ambil...

Melawat bangunan Stadthuys


Puas bergambar di Kubu A Famosa, kami beralih ke bangunan berdekatan  bewarna merah terang yang dikenali sebagai Stadthuys, iaitu bangunan binaan penjajah Belanda satu ketika dulu yang dikatakan tinggalan mereka yang tertua di Asia tenggara. Stadthuys ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.



Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.
Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Bangunan_Stadthuys

kubu A Famosa yang Famous....


Cuti-cuti sempena cuti semester sekolah 1 Jun 2012 baru ni, sempat juga bawa anak-anak ke Bandar Melaka untuk bercuti. Memperkenalkan anak-anak dengan keindahan Bandar Melaka bukan saja deruan air laut di Tanjung Bidara dan keenakan ikan bakar serta lauk asam pedsasnya, tetapi juga mengenali sejarah yang semakin keliru untuk difahami anak-anak. Kesempatan tersebut telah memberi ruang untuk mereka mengenali kota Melaka yang tersohor satu ketika dulu. Menunjukkan mereka satu demi satu tinggalan sejarah lama membuatkan anak-anak terpegun dan mula mencari asal kenapa Negara ini menjadi rebutan orang luar satu ketika dulu. 

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
Nama A Famosa seringkali disalah sebut sebagai /ei/ Famosa, termasuklah oleh orang Malaysia, seolah-olah artikula penentu "a" dalam bahasa Portugis dianggap sebagai huruf "A" dalam abjad Inggeris. Sebutan yang lebih tepat ialah /É‘/ Famosa (bunyinya lebih kurang "ah").








Dari segi sejarah, kota A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.


Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4  meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka..

Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, diberitakan ketika itu mangsa korban lebih 7,000 orang, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.

Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".

Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.

Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Dengan sebab itu, Mr. Robert Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India

Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu:
(I)                hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera 'sepoy' dan
(II)             pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang.

Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.

Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.

Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.

Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota 'A Famosa' pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.

Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.

banyak bercakap mengenai kota A Famosa binaan Portugis ini, kemudian diambil oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris, diserah semula kepada Belanda dan dipulangkan kembali kepada Inggeris, tentang kekukuhan binaanya dan berbagai lagi. Tapi akhirnya aku terdiam bila anak-anak merungut "kenapa selalu bercakap pasal  kekuhan kubu ini, kenapa tidak bercerita pasal kelemahan orang Melaka sehingga orang luar boleh buat kubu atas tanah  kita?". maknanya anak-anak sudah faham erti sejarah! saya menjawab "maka generasi kamu nanti janganlah ulangi lagi sejarah itu!"
  1. Sumber: Hikayat Abdullah, Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006, The Star. Ancient wall stays, tower goes. 4 Disember 2006. Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006, The Star. Old watchtower may be under site. 4 Disember 2006. Hikayat Abdullah,  (Inggeris) Exploring the Porta de Santiago (A Famosa)http://ms.wikipedia.org/wiki/A_Famosa

"Bila Dua Kuasa Duduk Bersama..."




“Buka aje pintu pejabat, dah ada orang dah tunggu minta dinikahkan, jadi kami nak buat macam mana, kalau tak dinikahkan kita bimbang mereka akan terus membuat maksiat atau mereka akan dibawa ke tempat nikah yang tidak mendapat tauliah dari majlis kita sendiri” kata Tuan Guru Haji Ismail Haree, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Agama Islam Wilayah Yala.

Begitulah rutin rakyat Malaysia yang hendak bernikah di Selatan Thailand, sememangnya cinta itu buta, bila sudah jatuh cinta maka tidak ada apa lagi yang dapat menghalang, bahkan katanya lautan api pun sanggup direnang, inikan pula hanya seberang Sungai Golok sahaja.

Tanggal 11 – 12 Jamadilawal 1433H bersamaan 3 – 4 April 2012 bertempat di Perdana Ballroom Hotel Holiday Villa, Alor Setar, Kedah Darul Aman menyaksikan sekali lagi pertemuan dua mata antara semua pihak yang bertanggungjawab menguruskan perkahwinan di Malaysia dan di Selatan Thailand. Peristiwa bersejarah ini sangat-sangat dinanti oleh semua pihak di Malaysia bagi menyelaras urusan perkahwinan warganegara Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand. Program yang diurusetiakan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim ini merupakan salah satu daripada usaha Jabatan ini untuk melaksanakan Kempen Sah Nikah Sah Nasab iaitu mengadakan penyelarasan pengurusan perkahwinan warganegara Malaysia di Selatan Thailand. 

Mesyuarat pada kali ini lebih bermakna dengan kehadiran YDP Majlis Agama Islam Wilayah Yala;Tuan Haji Haji Ismail bin Haree, Tuan Guru Hj Abdul Basit bin Che Mat – Qadhie Syarie Wilayah Yala; Tuan Guru Haji Ahmad Tuyung – Naib YDP Wilayah Yala, Tuan Guru Haji Abdul Halim bin Hilee – Setiausaha Majlis Wilayah Yala, Ustaz Subyan Yeerim dan Ustaz Abdol Rorfa Surong – YDP dan Naib YDP Majlis Agama Islam Wilayah Phattalung, Us. Man Marasa – YDP Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Us. Abdullah Akem – Naib YDP dan Encik Hassan bin Hj Talib – AJK Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Dari Majlis Agama Islam Wilayah Pattani; Dr. H. Ahmadkamei bin Hj. Yusof – Naib YDP, Tuan Haji Ahmad bin Wan Lembut – Naib YDP, Ustaz Tariq bin Haji Ahmad – Pegawai di Majlis Agama Islam Wilayah Pattani. Delegasi dari Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla; Tuan Haji Abdul Wahab Senwang bin Abdullah – Naib YDP; Tuan Haji Abdul Razak Meenjala – Naib Setiusaha; Tuan Haji Ismail Awang bin Hj Mohd Daud – AJK Majlis dan Tuan Haji Abdul Halim Matplod  – Pegawai di Majlis, manakala dari Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat;Tuan Hj Abdul Aziz Chemamat – Naib YDP, Tuan Hj Kokari – Ketua Bahagian Urusan Masjid, dan Tuan Haji Mustafa Loko – Pegawai Bahagian Urusan Kedamaian.

Turut dijemput bersama-sama Jakim dalam mesyuarat ini yang telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) ialah semua Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ di 14 negeri-negeri seluruh Malaysia (bagi Wilayah Persekutuan diwakilkan oleh KPP NCR di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur),Tuan Mohd Radzi bin Abdul Latif; Ketua Pendaftar Jabatan Kehakimah Syariah Malaysia, Putrajaya (Ibu Pejabat), Puan Hajjah Saimah binti Mukhtar; Pengarah Bahagian KSK Jakim, Tuan Haji Ghafani bin Awang Teh; Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-undang Jakim, Tuan Abas bin Nordin; Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Rekod JKSM, Tuan Mohd Syahrizal Syah bin Zakaria; Peguam Kanan Persekutuan (mewakili PUU Jakim), Tuan Kol. Hamzah bin Ali; Pengarah Pejabat Persempadanan Darat Malaysia – Thailand (MTBCO - MKN), Supt. Tuan Musytari bin Hj Omar; Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman; dan turut hadir ialah Inspektor Kairul Faiz bin Umar; PDRM Bukit Aman serta Inspektor Mohd Shahrizal bin Rasid; PDRM Kota Setar.

Mesyuarat memutuskan bagi perkahwinan yang tidak mendapat kebenaran bernikah dari JAIN,  semua pihak sama ada di Malaysia mahupun di Selatan Thailand hendaklah memastikan perkahwinan yang dijalankan mengikut hukum syara’ dalam masa sama hendaklah mempunyai dokumen – dokumen utama seperti mempunyai dokumen keluar masuk sempadan Malaysia – Thailand yang sah, perakuan dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Selatan Thailand, serta sijil nikah yang sah dari Majlis Agama Islam yang diiktiraf oleh kerajaan Thailand.

Majlis Penangguhan Persidangan yagn berakhir jam 12:30 tengahari pada 4 April 2012 telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Noh bin Dahya, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Dalam ucapan penangguhannya, YBhg Dato’ Haji Noh menyentuh mengenai tanggungjawab bersama menjaga maslahah dan nasab umat Islam serantau yang perlu dipikul oleh semua pihak di Malaysia dan di Selatan Thailand. YBhg Dato' Haji Noh juga telah menyampaikan cenderahati berupa set Kitab Fiqh al Manhaji Mazhab As Syafie  dari Jakim kepada semua wakil dari Majlis Agama Islam berkenaan.

" Bawa Peti Dari Melaka
Berisi Pakaian Si Anak Raja
Kalau Hati Sudahlah Suka
Semua Keadaan Indah Belaka..."



 Puan Hajjah Saimah Binti Mukhtar; Pengarah KSK Jakim
...tekun mendengar ucapan Pengerusi





Majlis Agama Islam Wilayah Satun
Penyampaian Cenderahati Kepada Tuan Guru Haji Ismail Haree;
YDP Majlis Agama Islam Wilayah Yala disempurnakan Oleh 
YBhg Dato' Haji Noh bin Dahya; Pengarah Jabatan Hal Ehwal 
Agama  Islam Negeri Kedah Darul Aman.


Ihsan: http://www.islam.gov.my/bila-dua-kuasa-duduk-bersama



MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...